Tuesday 7 August 2012

BAWA ku PerGi~....



Mujahadah berasal daripada perkataan jihad yang membawa maksud berusaha bersungguh-sungguh dengan mengeluarkan segala kekuatan dan kesanggupan. Mujahadah nafsu pula bermaksud memerangi hawa nafsu yang berada dalam diri kita.
Allah SWT  mengajarkan kepada kita melalui Al-Quran bahawa terdapat tiga jenis nafsu yang berada di dalam diri manusia. Jenis yang pertama adalah nafsu ammarah iaitu nafsu yang mendorong seseorang ke arah kejahatan.
Firman Allah SWT:
“Kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.” (Surah Yusuf:53)
Manakala nafsu yang kedua ialah nafsu lawwamah iaitu nafsu yang menjadikan seseorang berasa bersalah atau menyesal akan kesalahan dan kelalaian yang telah dilakukannya.
Sebagaimana firman Allah SWT:
“Aku  bersumpah  dengan hari kiamat dan Aku bersumpah dengan nafsu lawwamah (jiwa yang menyesali dirinya sendiri).” (Surah Al-Qiyamah:1-2)
Dan nafsu yang ketiga adalah nafsu mutmainnah iaitu yang tenang dengan kebenaran. Bilamana nafsuammarah ialah nafsu yang mendorong kepada kejahatan, nafsu mutmainnah pula mendorong kepada kebaikan dan merasai kelazatan dalam melaksanakan perintah Allah sepertimana dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka, masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah Al-Fajr:27-30)
Demikianlah perihal nafsu yang sering kita temui dalam Al-Quran. Hakikatnya, walaupun kita tahu sesuatu perkara itu adalah baik, namun masih susah bagi kita untuk melakukannya. Begitu juga sebaliknya iaitu tatkala kita tahu sesuatu itu buruk, namun kita tetap terjerumus ke dalamnya. Lihatlah betapa besarnya pengaruh nafsu di dalam diri manusia.
Kuasa diri
Kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri sendiri yang disebabkan oleh belenggu yang dirantai dua musuh utama manusia iaitu nafsu dan syaitan. Justeru, peperangan bagi memerangi dua musuh inilah yang dinamakan mujahadah.
Ia adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan secara zahirnya kerana medan pertempurannya adalah di dalam diri kita. Ia juga membawa erti berperang dengan diri sendiri yang mana hanya dengan ilmu yang benar sahaja kita dapat menilai setiap kehendak nafsu tersebut. Sesungguhnya, ramai manusia yang tahu tetapi tidak mahu atau tidak mampu untuk menghadapinya tanpa bekalan sebenar yang diperlukan.
Sebagaimana menurut Ibn Qayyim bahawa mujahadah nafsu itu ada lima jenis iaitu yang pertama ialah mujahadah dalam melawan apa yang diperintahkan oleh nafsu. Kedua, mujahadah diri dalam menuntut ilmu. Ketiga, mujahadah diri dalam mengamalkan apa yang dipelajari. Keempat, mujahadah dalam menyeru manusia kepada apa yang kita pelajari. Dan yang terakhir iaitu yang kelima ialah bersabar atas kesulitan-kesulitan dakwah.
Telah berkata salah seorang tokoh tabiin, “Musuh bagi diri ada tiga iaitu dunia, syaitan dan nafsu. Maka, perangilah dunia dengan cara zuhud kepadanya, dan perangilah syaitan dengan menangkisnya, serta perangilah nafsu dengan mujahadah.”
Ketahuilah, bahawa syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga dengan nafsu para musuh yang benci melihat kebangkitan Islam. Mereka tidak berasa lesu. Oleh kerana mereka adalah musuh yang tidak pernah berehat,  maka sewajarnya juga bagi kita untuk tidak berehat dalam mempertahankan diri.
Konsisten
Bermujahadah tidak boleh bermusim atau mengikut mood. Ia umpama mencuci pakaian yang sangat kotor. Bila kekotoran itu hanya dicuci sekali sekala, nescaya hasil yang diinginkan tidak tercapai atau sekadar cukup makan sahaja. Dan tidak mustahil, kotoran itu telah sebati dan tebal pada pakaian tersebut sehingga tidak dapat dilunturkan lagi. Begitulah juga dengan hati. Jika kita malas mencucinya dengan mujahadah, maka bertambah kotorlah ia hingga susah untuk dibersihkan lagi.
Oleh sebab itu, satu prinsip asas dalam mujahadah adalah istiqamah iaitu konsisten dalam memerangi hawa nafsu dan syaitan. Tuntasnya, mujahadah dan istiqamah itu merupakan gandingan mantap dalam setiap diri yang ingin menuju Allah.
Firman Allah:
“Oleh yang demikian, maka serulah mereka dan tetaplah sebagaimana yang telah diperintahkan kepadamu dan janganlah menurut hawa nafsu mereka.”(Surah As-Syura:15) KBAI...
Oleh MR Rahman ARP 
Tahun ke 3 Fakulti Kejuruteraan SEGi U SK.

No comments:

Post a Comment